
KULIM, 8 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan isu saman yang difailkan oleh isteri bekas Menteri Kewangan, Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid dan keluarganya terhadap beliau serta Kerajaan Malaysia akan dijawab melalui proses mahkamah.
- Perdana Menteri: isu saman akan dijawab melalui proses mahkamah.
- Nai’mah, dua anaknya dan peguam keluarga memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menentang siasatan.
- Saman mencabar siasatan berkaitan dakwaan menggulingkan kerajaan; defendan termasuk Anwar, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia.
“Bawa ke mahkamah, jawab di mahkamah,” katanya ringkas kepada pemberita.
Datuk Seri Anwar ditemui selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Badan Beruniform di Batalion Kedua Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini, malam tadi.
Pada Jumaat, Nai’mah bersama dua anaknya dan peguam keluarga berkenaan memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar siasatan terhadap mereka berkaitan dakwaan menggulingkan kerajaan.
Dua anak Nai’mah yang bertindak sebagai plaintif ialah Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin, manakala dua peguam keluarga terbabit ialah Amir Zharif Abdullah dan Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid.
Mereka menamakan Datuk Seri Anwar, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan dalam saman berkenaan.