
KUALA LUMPUR, 19 Mac – Orang ramai diingatkan supaya bertenang dan tidak memperbesarkan isu pembinaan rumah ibadat tanpa izin yang berpotensi mencetuskan ketegangan kaum serta menjejaskan keharmonian negara.
- Isu pembinaan rumah ibadat melibatkan aspek pentadbiran seperti status tanah, kelulusan pihak berkuasa tempatan dan pematuhan undang-undang.
- PDRM memantau perkembangan berpotensi menjadi titik panas keselamatan; perbincangan tidak terkawal di ruang awam dan media sosial berbahaya.
- Penguatkuasaan undang-undang semata tidak mencukupi; perlu kerjasama pemimpin masyarakat, tokoh NGO dan aktivis komuniti.
- PDRM menyokong dialog bersemuka seperti program Harmoni MADANI dan akan bentuk jawatankuasa khas serta berhubung agensi lain.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata isu berkenaan pada asasnya melibatkan aspek pentadbiran seperti status tanah, kelulusan pihak berkuasa tempatan dan pematuhan undang-undang.
“PDRM memantau dengan teliti beberapa perkembangan yang berlaku sejak kebelakangan ini yang berpotensi menjadi titik panas keselamatan sekiranya tidak ditangani dengan berhati-hati,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.
Beliau berkata perbincangan tidak terkawal di ruang awam dan media sosial boleh mencetuskan polemik agama dan kaum serta menjadi ancaman keselamatan sekiranya tidak dikawal.
Menurut Mohd Khalid, pendekatan penguatkuasaan undang-undang semata-mata tidak mencukupi untuk memastikan keharmonian masyarakat tanpa kerjasama semua pihak.
“Penguatkuasaan undang-undang semata-mata tidak mencukupi untuk memelihara keharmonian masyarakat, ia memerlukan kerjasama semua pihak khususnya pemimpin masyarakat, tokoh NGO dan aktivis komuniti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji program Harmoni MADANI antara beberapa badan bukan kerajaan (NGO) daripada komuniti Melayu dan India di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) disifatkan sebagai langkah positif ke arah memperkukuh perpaduan.
“PDRM melihat perbincangan bersemuka di meja rundingan merupakan usaha amat baik demi menjamin keharmonian masyarakat, dan kami akan terus memantau serta berhubung dengan agensi lain termasuk pembentukan jawatankuasa khas bagi menangani isu ini,” katanya.
Beliau turut memberikan amaran keras kepada mana-mana individu atau kumpulan yang cuba mengeksploitasi isu perkauman dan agama untuk kepentingan peribadi.