
PUTRAJAYA, 12 Februari- Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan memberi penjelasan kepada Jemaah Menteri esok berhubung isu berkaitan rumah ibadat yang dibina tidak mengikut peraturan termasuk insiden pencerobohan sebuah kuil di Rawang, Selangor.
- Saifuddin akan memberi penjelasan kepada Jemaah Menteri esok mengenai isu rumah ibadat dan insiden pencerobohan kuil di Rawang.
- Penjelasan bertujuan memaparkan kronologi peristiwa dan watak terlibat supaya kerajaan dapat mencari penyelesaian terbaik.
- Beliau menegaskan tindakan polis kadang dilihat dari satu perspektif sahaja ketika perhimpunan berkaitan isu ini.
- Isu status tanah, pemilikan dan perancangan bandar perlu diselesaikan melalui saluran sah bersama kerajaan negeri dan PBT.
Langkah itu bertujuan memberi gambaran sebenar mengenai isu berkenaan serta kronologi peristiwa dan watak-watak terlibat bagi membolehkan kerajaan mencari ikhtiar penyelesaian terbaik dalam meredakan ketegangan yang berlaku.
“Saya akan memaklumkan kepada Jemaah Menteri esok mengenai keadaan sebenar, termasuk watak-watak yang terlibat dan bagaimana pihak polis berusaha mengawal situasi.
“Kadang-kadang tindakan polis dilihat dari satu perspektif sahaja; contohnya, apabila ada pihak mengadakan perhimpunan berkaitan isu ini, kerajaan seolah-olah dilihat tidak menghormati kebebasan berhimpun dan bersuara,” katanya.
Tambah beliau, isu berkaitan status tanah, pemilikan atau perancangan bandar mesti diselesaikan melalui saluran sah yang melibatkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Datuk Seri Saifuddin bercakap pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.