fb fb fb fb fb

Rombakan kabinet tidak dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri terbaharu

Datuk Armizan Mohd Ali

PUTRAJAYA, 11 Disember- Isu berkaitan rombakan Kabinet tidak berbangkit dan tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang terbaru, kata Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.

"Tiada perbincangan di peringkat Jemaah Menteri dan saya fikir tiada keperluan ke arah itu. Perdana Menteri mempunyai ruang yang saya fikir memadai melihat setelah setahun prestasi setiap kementerian, komitmen setiap menteri.

"Pelantikan menteri-menteri juga merupakan cadangan beliau untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Itu adalah hak prerogatif beliau untuk menentukan barisan ahli Jemaah Menteri yang akan membantu beliau bagi meneruskan agenda Malaysia MADANI, " katanya ketika ditemui pemberita pada sesi Town Hall Dasar Francais Negara (DFN 2030) di sini.

Media pada 1 Disember melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan berkenaan akan berlakunya rombakan kabinet bulan ini.

Dalam pada itu, Armizan tidak mengulas lebih lanjut ketika ditanya berkenaan kesediaan beliau untuk menggalas tugas sebagai Menteri KPDN.

Pada 30 Julai lalu, Anwar berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali diarahkan memangku tugas itu buat sementara waktu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI