fb fb fb fb fb

Isu ringgit susut tidak disentuh pelabur Australia - PM Anwar

Anwar Ibrahim

MELBOURNE, 6 Mac- Penyusutan nilai ringgit tidak menjadi isu utama kepada pelabur Australia, sebaliknya mereka komited untuk melabur ke negara ini kerana berkeyakinan dengan asas ekonomi Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedudukan ringgit tidak disentuh oleh pelabur dalam semua perbincangan dengan ketua-ketua industri yang ditemui beliau sepanjang berada di negara itu.

Ujarnya, perbincangan tersebut lebih memberi fokus kepada isu berkaitan asas ekonomi lain seperti inflasi, pasaran saham dan pengangguran.

"Dalam semua perbincangan saya, dengan jurubank, ahli perniagaan, bakal pelabur di Australia... susut nilai ringgit tidak pernah jadi isu (kepada) mereka.

"(Sebaliknya) mereka nak lihat dasar ekonomi, sistem politik (juga) keyakinan sistem politik, inflasi, pasaran saham dan isu-isu lain.

"(Ringgit susut) faktor membimbangkan tetapi tidak menjejaskan," katanya ketika menjawab soalan pelajar pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama diaspora Malaysia di sini, hari ini.

Komitmen Australia dibuktikan dengan jumlah pelaburan yang bakal diterima Malaysia sebanyak RM24.5 bilion hasil pertemuan dengan pemain industri sepanjang lawatan rasminya ke negara berkenaan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menggalakkan pelajar Malaysia terutama tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk bekerja di luar negara selepas tamat pengajian.

Namun, mereka dinasihatkan untuk berbincang dengan penaja masing-masing untuk mendapatkan kebenaran.

"Apakah harus ada peluang bagi siswazah lulusan universiti atau kolej menimba pengalaman (kerja) di Australia? Jawabnya ya.

"Cuma kalau ada biasiswa daripada penganjur (penaja), kena ada perbincangan dengan penganjur apakah keperluan itu kritikal di Malaysia atau tidak?

"(Tetapi bagi JPA), saya mempengerusikan mesyuarat di JPA dan memang kita izinkan, kalau ada peluang (dan) kesempatan itu untuk menimba pengalaman di Australia," tambahnya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Anwar menegaskan Malaysia perlu berani membawa perubahan dengan meninggalkan budaya lama bagi menjadikan negara dalam keadaan lebih baik pada masa hadapan.

Jelas Perdana Menteri, perubahan itu bukan hanya didokong oleh kerajaan dan Jemaah Menteri, tetapi juga diperingkat rakyat.

 

ARTIKEL BERKAITAN
Australia setuju teruskan pelaburan ke Malaysia bernilai RM24.5 bilion
Tujuh syarikat Australia berminat tambah pelaburan di Malaysia

SITI AISHAH MD ISA