Isu penggunaan logo: UM perlu tangani secara berhemah

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 12 Mac – Isu membabitkan Universiti Malaya (UM) dan sebuah pertubuhan pelajar berkaitan penggunaan logo universiti itu perlu ditangani melalui pendekatan yang lebih konstruktif dan berhemah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri telah mendapatkan penjelasan daripada pihak pengurusan UM untuk memahami perkara secara terperinci.
  • Isu penggunaan logo yang menimbulkan kekeliruan harus diselesaikan melalui perbincangan antara universiti dan pelajar, bukan di mahkamah.
  • Salah faham timbul antara hak penggunaan dan peraturan universiti; persatuan pelajar perlu menghormati garis panduan nama, logo, identiti.
  • Liga Mahasiswa dakwa intimidasi selepas notis undang undang menuntut mereka hentikan penggunaan nama UM.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau sudah mendapatkan penjelasan daripada pihak pengurusan UM bagi memahami secara lebih terperinci perkara yang berlaku.

“Isu berkaitan penggunaan identiti atau logo universiti itu yang sekiranya menimbulkan kekeliruan atau pelanggaran prosedur wajar diselesaikan terlebih dahulu melalui perbincangan antara pihak universiti dan pelajar.

“Hal-hal seperti ini tidak perlu sampai dibawa ke mahkamah. Perkara ini berkaitan dengan isu yang dianggap oleh universiti mempunyai asas kerana melibatkan penggunaan logo mereka, manakala para pelajar pula merasakan bahawa mereka merupakan sebahagian daripada UM. Oleh itu, sudah tentu wujud sedikit sebanyak salah faham, khususnya dari segi hak penggunaan logo tersebut,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Berbuka Puasa Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), di sini, hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa persatuan pelajar perlu sentiasa menghormati peraturan dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak universiti, khususnya dalam hal yang melibatkan penggunaan nama, logo dan identiti institusi.

Terdahulu, Liga Mahasiswa Universiti Malaya mendakwa mengalami intimidasi selepas menerima notis undang-undang yang menuntut mereka menghentikan penggunaan nama UM, memandangkan kumpulan itu masih belum didaftarkan secara rasmi sebagai pertubuhan pelajar universiti berkenaan.