fb fb fb fb fb

Isu 'Parallel Pathway', beberapa undang-undang perlu dipinda

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 29 Mei- Jabatan Peguam Negara memaklumkan beberapa undang-undang perlu dipinda bagi membolehkan Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) dibuka kepada pelajar bukan bumiputera yang terlibat dalam program 'Parallel Pathway'.

Jurucakap kerajaan, yang juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata isu tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet akan datang.

"'Parallel Pathway' merujuk kepada isu yang melibatkan pertindihan antara MQA dan MMC. Bagi para doktor, mereka mendapatkannya melalui MMC tapi bagi yang lain melalui MQA."

"Jadi isu itu akan dibincangkan ke depan, melibatkan pindaan kepada beberapa akta tetapi ini belum dimaklumkan kepada jemaah menteri, apa akta ataupun akta-akta yang khusus," kata Fahmi kepada pemberita dalam sidang media mingguan selepas Mesyuarat Kabinet, di sini.

Sementara itu, Fahmi menjelaskan bahawa Kerajaan Perpaduan akan mengadakan mesyuarat bagi mendepani Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.

Bagaimanapun, perkara itu akan diuruskan melalui mekanisme dalaman Kerajaan Perpaduan.

"Di peringkat majlis pimpinan atau majlis rundingan Kerajaan Perpaduan belum diadakan mesyuarat mengenai perkara ini. Tapi, mengambil sikap dan pendirian kerjasama yang baik diantara parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan sewaktu PRK Kuala Kubu Bharu, saya percaya proses yang sama akan dituruti untuk PRK Sungai Bakap."

"Saya lihat, insya-Allah tidak akan menjadi isu dan akan diuruskan melalui mekanisme dalaman bagi Kerajaan Perpaduan," tambah Fahmi.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM