BEHRANG, 14 Februari- Isu cadangan melantik seorang menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama bukan Islam di peringkat Persekutuan akan ditangani secara teliti supaya penyelesaian terbaik dapat dicapai.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, kerajaan sentiasa meraikan perbezaan pendapat dan ia akan disantuni dengan rahmah serta baik oleh kepimpinan negara.
"Kita sudah ada kerangka itu dan kita hormat dan saya yakin bahawa kebijaksanaan pimpinan negara. Apa yang berlaku di negara kita, Insya-Allah dengan kebijaksanaan dengan sokongan semua kita dapat tangani isu ini," katanya.
Tambah beliau, penyelesaian tuntas akan dilaksana mengikut Perlembagaan Persekutuan dan lunas undang-undang.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Sentuhan Kasih MADANI Jom Ke Sekolah 2025 anjuran Yayasan Dakwah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama dan tajaan dari Yayasan Taqwa – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Dewan Muallim Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Behrang.
Seramai 500 pelajar menerima bantuan peralatan sekolah bernilai RM 175 setiap seorang pada program tersebut dan ianya akan diteruskan ke semua negeri sebagai tanda komitmen kerajaan MADANI dalam meringankan beban rakyat menjelang sesi persekolahan minggu hadapan.