fb fb fb fb fb

Isu Laut China Selatan perlu diurus menerusi saluran diplomatik - Fahmi

Kelibat kapal perang tentera laut China dikesan di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia

KUALA LUMPUR, 11 September- Sebarang isu berbangkit berkaitan Laut China Selatan perlu diurus melalui saluran diplomatik.

Perkara itu dimaklumkan jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil apabila ditanya dakwaan kehadiran kapal perang tentera laut China di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia.

Menurutnya, perkara itu juga tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim .

"Kita tidak bincang perkara ini secara khusus tapi sebarang isu berbangkit diurus melalui saluran diplomatik,"katanya.

Jelas Fahmi lagi, agenda khusus untuk dibawa ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

Ia memandangkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak menghadiri mesyuarat hari ini.

Tambah beliau, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama beberapa menteri lain akan mewakili kerajaan dalam UNGA yang dijadual berlangsung di New York pada 22 September ini.

Media turut melaporkan, 20 negara dijangka menyertai satu persidangan di luar UNGA bagi membincangkan isu tuntutan Laut China Selatan dengan China.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya.

Pada 9 September lepas, Kementerian Luar dilaporkan mengambil maklum mengenai laporan kehadiran kapal peninjau tentera China dan Pengawal Pantai China yang berlegar di perairan EEZ Malaysia berdekatan Sarawak.

Ia susulan kehadiran kapal itu tular di media sosial sehingga menimbulkan rasa cemas netizen.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE