fb fb fb fb fb

Isu kewarganegaraan, miskin tegar perkara dibincangkan MPN PKR Sabah

Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) menghadiri perjumpaan khas bersama Majlis Pimpinan Negeri Sabah /BERNAMA

KOTA KINABALU, 20 April- Isu kewarganegaraan dan menoktahkan kemiskinan tegar di Sabah antara inti pati utama yang dibincangkan bersama-sama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata MPN PKR Sabah mengutarakan kepentingan dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar di negeri itu, selain mencadangan usaha untuk mendepani perkara itu.

Selain itu turut dibincangkan ialah kepentingan mengukuhkan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri bagi mengatasi isu kewarganegaraan di Sabah.

Perkara itu terutamanya melibatkan penduduk yang masih tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, kata beliau.

"Tentunya mengatasi isu kewarganegaraan mengikut syarat telah ditentukan negara kita. Saya terharu apabila nampak fokus itu ada untuk mengatasi masalah kemiskinan dan tidak ada dokumen yang sah," katanya di sini.

Sebelum itu beliau mengadakan perjumpaan khas dengan MPN PKR Sabah yang turut dihadiri Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek yang juga Menteri Pendidikan; Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi dan Pengerusi MPN PKR Sabah Datuk Dr Sangkar Rasam.

Seramai 26 Ketua Cabang PKR Sabah turut hadit ke perjumpaan itu antaranya Ketua Cabang PKR Kota Belud Datuk Mustapha Sakmud merangkap Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dan Ketua Cabang PKR Kota Kinabalu Datuk Christina Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

Dalam pada itu, Anwar berkata MPN PKR Sabah turut memberikan pandangan berkenaan dengan isu kepimpinan majlis dan sebarang keputusan berkaitan isu terbabit akan dibuat setelah perbincangan di peringkat pusat.

"(Kita) berunding dengan ketua cabang (di Sabah) … mereka beri pandangan kepada saya untuk pertimbangan (dan) kita akan rujuk kepimpinan pusat. Kepimpinan pusat akan berunding dan buat keputusan," katanya.

Ditanya tentang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, Anwar berkata, perbincangan turut melibatkan persiapan menghadapi pilihan raya berkenaan di peringkat akar umbi parti itu, namun tidak mengulas lanjut.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI