fb fb fb fb fb

Isu keselamatan dalam talian libatkan kanak-kanak perlu perhatian serius

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 16 Januari-Isu keselamatan dalam talian terutama melibatkan kanak-kanak perlu di beri perhatian serius oleh semua pihak bagi memastikan persekitaran digital lebih selamat

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan, walaupun internet kini mudah diakses secara meluas namun terdapat keperluan mendesak untuk memastikan internet dapat dilayari dengan lebih selamat khususnya untuk kanak-kanak.

Tambah Fahmi kebimbangan pihaknya kini lebih terarah kepada beberapa kandungan tersedia yang mungkin menganggu perkembangan mental golongan tersebut.

"Saya fikir ini bukan mengenai isu kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan kita, tetapi ini adalah mengenai keselamatan dalam talian.

"Meskipun kita mempunyai akses kepada internet yang murah dan cepat kita juga mahu ruang intenet yang selamat terutama untuk kanak-kanak.

"Beberapa bulan lalu, saya melawat ke sekolah rendah dan bertanya berapa ramai yang mempunyai akaun TikTok, lebih 400 pelajar di depan saya mengangkat tangan.

"Jadi, kerisauan saya apabila kanak-kanak ini melihat terlalu banyak kandungan yang mempu memberi kesan kepada mental kanak-kanak", katanya demikian ketika ditemubual untuk program 'On The Table: Social Media Licensing In Malaysia: Key Insights and Impact' yang disiarkan di RTM.

Dalam pada itu, penyedia platform media sosial bakal berdepan dengan tindakan undang-undang atau kompaun sekiranya terus beroperasi tanpa lesen.

Fahmi menegaskan, tindakan tegas itu diambil bagi memastikan keselamatan pengguna dapat dilindungi dari jenayah siber.

"Pada masa yang sama terdapat juga pelanggaran sekiranya anda membenarkan jenayah tertentu berlaku dan orang menyalahgunakan platform anda, anda tidak akan menjadi sasaran.

"Siasatan dan tindakan akan dikenakan terhadap pelaku", katanya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD