Putrajaya, 22 November- Isu pertelingkahan di Laut China Selatan dan pergolakan geopolitik di Myanmar dijangka menjadi cabaran utama Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun hadapan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, peranan komuniti ASEAN perlu diperluas dan diperkasa bagi memastikan kedua-dua isu itu dapat diselesaikan secara bersama melalui kerjasama serantau.
"Krisis ini memerlukan usaha bersama dengan satu suara. Jika ASEAN berpecah, ia akan melemahkan kuasa ekonomi serantau yang sedang bangkit selepas pandemik COVID-19," katanya.
Tambahnya, ketika ini terdapat beberapa kumpulan dalam ASEAN yang menunjukkan perpecahan apabila isu seperti geopolitik Myanmar dibangkitkan.
Oleh itu, kesepaduan antara semua negara anggota amat diperlukan bagi memastikan kepentingan rantau ini terus terpelihara.
Mohamad Hassan berkata demikian semasa sesi dialog bertajuk "Halatuju dan Strategi Kepengerusian ASEAN - Malaysia 2025" pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini malam ini.
Sesi dialog tersebut turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang bertindak sebagai moderator, bersama para peserta yang bertukar pandangan mengenai persediaan Malaysia memimpin ASEAN pada tahun 2025.