KUALA LUMPUR, 29 Oktober – Isu gelandangan di ibu kota serta pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya antara yang akan dibangkitkan pada mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.
- Fong Kui Lun soal kapasiti pusat transit gelandangan dan penggunaan sepenuhnya fasiliti tersebut di ibu kota.
- Soalan juga membabitkan keperluan meluaskan pusat transit termasuk latihan dan pembangunan kemahiran.
- Lim Lip Eng tanya model perbandingan bagi pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta proses pelantikan.
- Sesi diteruskan dengan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan dan mesyuarat berjalan hingga 4 Disember.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) bertanyakan Perdana Menteri jumlah gelandangan di ibu kota, serta sama ada pusat transit gelandangan digunakan sepenuhnya pada sesi soal jawab lisan sejurus sidang bermula pada 10 pagi.
Fong juga ingin tahu sekiranya terdapat keperluan menambah atau memperluas pusat transit gelandangan termasuk menyediakan elemen latihan dan pembangunan kemahiran untuk membantu golongan itu berdikari.
Pada sesi sama, Lim Lip Eng (PH-Kepong) bertanyakan Perdana Menteri mengenai model perbandingan yang dirujuk kerajaan bagi pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, serta sama ada pelantikan Peguam Negara akan melalui Jawatankuasa Pilihan berkaitan Kementerian.
Turut menarik perhatian, soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) kepada Menteri Belia dan Sukan mengenai pendirian terkini kementerian terhadap cadangan kerajaan terdahulu berhubung pembinaan litar drag sekurang-kurangnya sebuah di setiap negeri, selari dengan sokongan diberikan kerajaan hari ini terhadap penganjuran Himpunan RXZ Members baru-baru ini.
Selepas sesi soal jawab, mesyuarat Dewan Rakyat diteruskan dengan sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan peringkat dasar oleh kementerian berkaitan.
Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 35 hari hingga 4 Disember. – BERNAMA