fb fb fb fb fb

Isu dua hala Malaysia-Singapura dapat terus dibincang dalam konteks konstruktif- Menteri Luar

(Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir/ BERNAMA)

SINGAPURA, 30 Januari- Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yakin isu dua hala melibatkan Malaysia dan Singapura dapat terus dibincang dalam konteks yang konstruktif dan secara produktif.

Ianya sangat penting untuk kedua-dua negara mengadakan sesi perbincangan atau rundingan yang boleh memberikan keputusan baik.

Semalam, beliau melakukan pertemuan bersama rakan sejawatnya di Singapura Dr.Vivian Balakrishnan.

Pertemuan itu bagi membincangkan perkara berkaitan dengan hubungan dua hala dan juga persiapan awal untuk kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan pada hari ini.

Antara perkara yang dibincang termasuk “Maritime Boundary Delimitation’, ‘Flight Information Region’ dan melibatkan beberapa perkara lain daripada segi perjanjian bersama yang dibuat selama ini.

“Kami turut berbincang beberapa hal yang berkaitan dengan isu-isu yang melibatkan kedua-dua negara yang memerlukan persefahaman bersama untuk kita selesaikan.

“Daripada segi isunya tidaklah begitu banyak yang memerlukan langkah-langkah segera untuk kita selesaikan, namun ia melibatkan beberapa perkara penting untuk dilihat secara bersama dan membuat keputusan bersama,” katanya.

Malaysia dan Singapura mempunyai persamaan dan harapan sama untuk melihat rantau ini berada dalam keadaan yang baik.

Zamry optimis, rundingan begini perlu diteruskan atas semangat hubungan kejiranan yang baik dengan niat yang baik dan matlamat untuk kita selesaikan pelbagai isu.

"Ia supaya setiap perkara yang dibincangkan itu tidak akan menyebelahi satu pihak sahaja tetapi ia hendaklah dapat mencapai satu keputusan secara menang-menang dan yang akan boleh membawa hasil daripada keputusan yang dibuat itu untuk kita melangkah ke hadapan secara lebih baik di masa akan datang,” jelasnya.

Pada 2022, Singapura merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dan terbesar dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN dengan jumlah perdagangan berjumlah RM367.53 bilion.

Ia menyaksikan peningkatan 29.4 peratus berbanding jumlah dagangan pada 2021.


(FOTO FAIL)

 

Media Baharu