fb fb fb fb fb

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 bermula

Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Julai- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berangkat masuk ke Balairung Seri, Istana Negara bagi meneruskan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Sultan Ibrahim mengenakan persalinan rasmi Yang di-Pertuan Agong dikenali sebagai Muskat dan Raja Zarith Sofiah anggun dalam persalinan Kurung Johor berwarna keemasan.

Keberangkatan masuk pasangan diraja diiringi alunan tiupan nafiri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan paluan nobat Kumpulan Nobat Diraja Perak yang memainkan lagu 'Raja Berangkat' dalam istiadat penuh tradisi dan adat Raja-Raja Melayu.

Kemudian Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini memohon perkenan Seri Paduka Baginda bagi memulakan istiadat pertabalan di Balairung Seri.

Istiadat pertabalan itu dihadiri 700 tetamu termasuk Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan komuniti diplomatik asing serta pemimpin-pemimpin utama negara itu turut disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta stesen televisyen lain.

Ia termasuk pelbagai platform media sosial dan buat kali pertama, istiadat itu juga boleh disaksikan rakyat menerusi "wayang pacak" yang disediakan Jabatan Penerangan dengan kerjasama Komuniti MADANI di setiap 222 kawasan Parlimen di seluruh negara.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu.

Pelantikan Seri Paduka Baginda adalah bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari Pahang, yang tamat tempoh pemerintahan selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari 2024.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI