fb fb fb fb fb

IPT disaran turun padang bantu masyarakat selesai isu setempat- Khaled Nordin

(Datuk Seri  Khaled Nordin melancarkan Program Pembangunan Komuniti Usahawan Tani dan Inovasi Sosial UPM, di sini hari ini)

KOTA TINGGI, 9 September- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyarankan agar institusi pengajian tinggi (IPT) sentiasa 'turun padang' dalam usaha membantu masyarakat menyelesaikan isu setempat.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata IPT perlu proaktif dalam melaksanakan inisiatif berkenaan sekali gus memperkasa peranan dan sumbangan institusi itu dengan menyampaikan ilmu, kepakaran serta teknologi yang ada kepada masyarakat.

"Saya tekankan kerana ia memang sesuatu yang amat diharapkan oleh kementerian supaya setiap universiti dalam negara termasuk Universiti Putra Malaysia (UPM) meneruskan libat urus dengan masyarakat melalui program 'outreach'.

"Ilmu dan kepakaran yang didapati daripada penyelidikan harus diaplikasikan oleh masyarakat," katanya ketika berucap melancarkan Program Pembangunan Komuniti Usahawan Tani dan Inovasi Sosial UPM, di sini hari ini. 


(Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin)

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri Norlizah Noh dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UPM Prof Dr Ismi Arif Ismail. 

Khaled turut memaklumkan antara perkara yang diberi perhatian ketika ini termasuk isu keterjaminan makanan yang menuntut kepakaran dan penyelidikan di IPT bagi menyelesaikan perkara berkaitan pertanian serta perladangan.

Beliau turut berharap agar daerah Kota Tinggi turut menjadi makmal lapangan atau antara stesen pengembangan pertanian dan keterjaminan makanan UPM bagi melestarikan usaha berkenaan. 

Pada masa sama, beliau mahu ilmu dan kepakaran yang berterusan serta disusun dengan cara yang sesuai dan mudah untuk dipraktik, selain program yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

Media Baharu