fb fb fb fb fb

IPR INTAN sasar penglibatan 20,000 peserta menjelang 2025

Tangkap layar facebook Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR, 28 Januari- Kementerian Ekonomi akan segera memperluas Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) bawah program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di seluruh negara kata menterinya Rafizi Ramli.

Seramai 20,000 peserta disasarkan untuk terlibat dalam program itu menjelang akhir tahun 2025.

Rafizi menerusi satu hantaran di Facebook berkata, formula pertanian moden untuk membasmi kemiskinan telah berjaya dibuktikan di beberapa tapak di seluruh negara.

"Pendekatan IPR INTAN yang melihat satu tapak pertanian sebagai satu 'kilang' cuba menyelesaikan semua risiko ini.

"Peserta menjadi pekerja yang menguruskan plot yang telah dibangunkan dengan kaedah pertanian moden dan diberi latihan. Kalau mereka putus asa awal, akan ada peserta baru yang masuk untuk menyambung, seperti pekerja kilang baru mengganti yang telah berhenti," katanya dalam hantaran itu.

Rafizi berkata, pendapatan bulanan purata yang dijana peserta jauh lebih tinggi daripada sasaran minimum iaitu RM2,000 sebulan.

Tujuh peserta IPR INTAN di Putrajaya berjaya meraih pendapatan antara RM11,990 hingga RM23,413 selepas tuaian pusingan pertama.

Rekod itu menjadikan, julat tambahan pendapatan bulanan dijana bagi setiap kitaran empat bulan, antara RM3,000 ke RM5,800.

Jumlah itu lebih tinggi daripada gaji median nasional bagi pekerja formal iaitu berjumlah RM2,600.

"Formula pertanian moden untuk membasmi kemiskinan telah berjaya dibuktikan di beberapa tapak di seluruh negara. Amanah saya ialah meluaskan IPR INTAN di seluruh negara dengan segera," katanya.

IPR INTAN berusaha menyelesaikan risiko kepada kegagalan projek pertanian melibatkan peserta berpendapatan rendah sebelum ini.

Perkara itu termasuk risiko serangan penyakit, penyusutan mutu tuaian serta ketidaktentuan menentu.

Dalam pada itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dijadual melawat ke tapak IPR INTAN Tanjung Rambutan, Perak hari ini buat kali pertama.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI