fb fb fb fb fb

Intervensi bukan kaedah baharu, diguna pakai tangani keciciran calon SPM

Timbalan Menteri Pendidikan,Wong Kah Woh/ Foto Fail: BERNAMA

TAIPING, 3 Jun - Langkah intervensi bukan kaedah baharu dan telah diguna pakai secara berterusan bagi menangani masalah keciciran calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Menteri Pendidikan,Wong Kah Woh berkata menerusi langkah itu jumlah calon yang tidak menduduki SPM berjaya dikurangkan sebanyak 1.2% berbanding tahun lalu.

"Langkah itu lebih bersifat pemujukan dan memberi kesedaran kepada setiap calon berkaitan kepentingan dan kelebihan menduduki peperiksaan tersebut.

“Secara dasarnya, langkah intervensi ini kita telah lakukan sebelum calon-calon menduduki peperiksaan SPM termasuk untuk berikan nasihat dan kaunseling, ” katanya ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Kejohanan Malaysia International Muay Championship (MIMAC) di sini, malam tadi.

Wong berkata intervensi itu juga mampu mengurangkan masalah keciciran dalam skala yang lebih besar sekiranya mendapat kerjasama penuh daripada semua pihak termasuk ibu bapa.

“Bukan hanya di pihak kerajaan malah kita semua perlu memupuk satu fenomena untuk menggalakkan anak-anak menduduki peperiksaan ini. Jika ini berlaku, saya pasti ia akan menjadi hala tuju untuk mengatasi isu keciciran ini,” ujarnya.

Beliau turut mengakui faktor keciciran adalah disebabkan pengaruh media sosial

Ujarnya lagi faktor keciciran berlaku, beliau berkata pihaknya mengakui pengaruh media sosial antara punca utama masalah berkenaan.

Sementara itu, berkenaan MIMAC, Wong berkata ia berjaya menarik kehadiran 240 peserta melibatkan 120 pasukan dari 12 negara termasuk Thailand, Vietnam, Kemboja, Iran, Laos dan Afghanistan.

Menurutnya, tujuan utama pertandingan yang dianjurkan dengan usaha sama KPM, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persatuan Tomoi Negeri Perak itu adalah untuk mencungkil bakat-bakat baru selain membangunkan sukan Muay Thai di negara ini.

ZEHRA BINTI ZAMBRI