KUALA KUBU BAHARU, 9 Mei- Kementerian Pengangkutan (MOT) menggalakkan semua institut memandu menawarkan ujian memandu berasaskan Sistem Latihan dan Pengujian Memandu Secara Elektronik (eTesting).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bagaimanapun berkata ia bukan sesuatu yang wajib dan masih dalam tempoh pelaksanaan serta penilaian, sebelum dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 2030.
"Ini kita tidak ada paksaan. Ini adalah pilihan. Ada yang sesuai dan ada yang tidak sesuai. Jadi, kalau sudah mohon perlu masa untuk memasang alat sistem itu dalam masa beberapa bulan."
"Saya jangka lebih banyak akademi memandu dan institusi memandu akan dapat perkenalkan kaedah eTesting menjelang suku ketiga tahun ini," kata Anthony kepada pemberita pada program santai di Pusat Memandu PS Samy Kuala Kubu Baharu.
Sementara itu, berbaki kurang daripada 48 jam, kesungguhan calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao meneruskan kempen Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu menjelang tamat tempoh berkempen.
Sambutan dan penerimaan amat baik masyarakat setempat terhadap calon wanita muda ini dianggap sebagai satu kesinambungan bekas Ahli Dewan Negeri N.06 sebelum ini, mendiang Lee Kee Hiong.
"Saya yakin anak-anak muda melihat suasana berbeza daripada pemikiran mereka. Ini adalah masa untuk rakyat KKB memberi peluang kepada seorang wanita muda yang saya lihat mampu membawa perubahan dan perkara baharu di Kuala Kubu Baharu ini," kata Zaliha kepada pemberita dalam program sama.