fb fb fb fb fb

Institusi KPM perlu patuh garis panduan anjur program, terima sumbangan

Foto Hiasan

PUTRAJAYA, 22 Julai - Pentadbir di institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.

Dalam kenyataan hari ini, KPM memaklumkan garis panduan itu antaranya melarang sumbangan melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

"KPM mengalu-alukan usaha sekolah untuk menganjurkan program dan mendapatkan sumbangan bagi tujuan pembangunan selaras dengan inisiatif Sekolah Milik Masyarakat.

"Namun ini perlu dilaksanakan berdasar kepada Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memakumkan KPM sentiasa proaktif menangani gejala sosial dalam kalangan generasi muda dan pelbagai program kesedaran serta pendidikan pencegahan dianjurkan di sekolah, bertujuan untuk memberi bimbingan kepada murid.

Justeru, kementerian itu mengambil perhatian serius isu penganjuran program amal di sebuah sekolah yang melibatkan sumbangan syarikat minuman keras seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.

"Isu ini berada dalam perhatian KPM dan siasatan lanjut sedang dijalankan," menurut kenyataan itu.

ZEHRA BINTI ZAMBRI