fb fb fb fb fb

Inspirasi mahasiswa OKU dari UM ini perlu diteladani

Nurhidayah/Foto UM

KUALA LUMPUR, 24 September - “Hidup tidak pernah gagal memberi kita pelajaran, maka, bersedialah untuk menghadapi kehidupan.”

Kata-kata itu menjadi inspirasi dan pegangan hidup mahasiswa Universiti Malaya, Orang Kurang Upaya (OKU), Nurhidayah Johari, 22; anak bongsu daripada dua beradik berasal dari Kajang, Selangor.

Pelajar tahun akhir jurusan Ijazah Sarjana Muda Kaunseling yang juga anak seorang pengawal keselamatan dan pekerja kilang itu bukan sekadar cemerlang di universiti, tetapi juga merupakan aktivis OKU yang gigih.

Pencapaian CGPA semasa 3.75, membolehkan Nurhidayah menerima Anugerah Dekan dan Anugerah Timbalan Naib Canselor. Sebenarnya, pencapaian Nurhidayah tidak terhad kepada bidang akademik sahaja, malah aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum.

“Saya percaya hidup bukan sekadar hidup, tetapi bagaimana kita memberi makna dalam sesebuah kehidupan,” ujar Nurhidayah yang kini memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Istimewa UM (PERMIUM) 2023/2024. Nurhidayah juga mewakili PERMIUM dalam pelbagai forum dan persidangan.

Ketika usianya masih kecil, Nurhidayah telah menempuh pelbagai cabaran kesihatan. “Saya pernah melakukan tiga siri pembedahan di kaki,” jelas Nurhidayah.

2509 MAHASISWA OKU
Nurhidayah bergambar bersama-sama rakan kampus/Foto UM

Namun, cabaran itu tidak menghalangnya untuk terus berusaha memajukan diri dalam pelbagai aspek. Malah, pengalamannya sendiri sebagai OKU telah mendorongnya untuk menjadi seorang pendokong advokasi bagi golongan Istimewa ini.

“Saya tidak menjadikan status OKU sebagai satu halangan untuk menuntut ilmu dan menyumbang kepada masyarakat,” tegas Nurhidayah. Sebaliknya, beliau menggunakan pengalamannya untuk memberi inspirasi kepada orang lain. Ini terbukti melalui anugerah Johan dalam Young Disability Competition (YDC) 2022 dan menerima Anugerah Star of Hope 2024.

Selain advokasi OKU, Nurhidayah juga berminat dalam isu kesihatan mental. “Saya suka membaca buku-buku yang berisi kandungan berat sejak remaja,” katanya, seraya menamakan buku motivasi oleh Mark Manson sebagai salah satu bacaan kegemarannya.

Di kampus, Nurhidayah menjadi rujukan rakan-rakan sekuliah dalam isu berkaitan kesihatan mental, terutamanya dalam kalangan remaja. Dalam tempoh lima tahun, Nurhidayah berharap dapat memberi advokasi dan pendidikan mengenai OKU, meningkatkan pemahaman mengenai kesihatan mental dan memperkasa golongan OKU untuk menggilap bakat dan kebolehan mereka.

“Saya percaya setiap hari adalah peluang baharu untuk setiap daripada kita untuk berusaha mencapai kejayaan, tanpa mengira latar belakang dan keupayaan fizikal,” ujarnya penuh keyakinan.

Mengenai kerjaya impian, ketika kecil Nurhidayah pernah bercita-cita untuk menjadi seorang doktor perubatan, namun kini menghalakan impiannya ke arah kerjaya sebagai seorang ahli psikologi atau kaunselor berdaftar.

“Walaupun kelihatan terdapat perubahan ketara, sebenarnya cita-cita ini kesemuanya berkongsi elemen penting yang sama. Saya melihat diri saya sebagai seorang yang perlu berbakti kepada Masyarakat, terutamanya dalam perkara berkaitan kesihatan dan kesejahteraan diri,” terang Nurhidayah.

Kini, Nurhidayah sedang menceburkan diri dalam bidang pengucapan awam dan penulisan. “Saya sedang dalam usaha menyiapkan penulisan buku saya yang pertama,” katanya.


2509 MAHASISWA OKU1
Foto UM

Nurhidayah juga sering dijemput menjadi panel dalam pelbagai forum, selain dilantik sebagai pengacara majlis. Bagi Nurhidayah, kehidupan ini penuh dengan peluang dan ruang untuk berkembang.

“Saya sentiasa bercita-cita untuk memberikan manfaat dan harapan terhadap orang lain,” katanya mengakhiri perbualan. Atas semangat dan dedikasi yang ditunjukkan, tidak hairanlah Nurhidayah sering menerima jolokan “leader” dalam kalangan rakan-rakannya.

Melihat pencapaian dan aspirasi Nurhidayah, jelas sekali bahawa masa depan advokasi OKU dan kesihatan mental di Malaysia berada di tangan yang selamat.

Semoga perjalanan Nurhidayah akan terus menginspirasi ramai lagi individu untuk bangkit mengatasi cabaran dan memberi sumbangan yang bermakna kepada masyarakat.

MAT YUNUS BIN SABRI