fb fb fb fb fb

Insiden pokok tumbang: Pemandu Monorel terima penghargaan, selamatkan 30 penumpang

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada pemandu Monorail, Kapten Ahmad Zahiruddin Nordin di Wisma Monorail / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 24 Mei - Pemandu Monorel, Kapten Ahmad Zaharuddin Nordin menerima sijil penghargaan daripada Kementerian Pengangkutan selepas beliau berjaya mengelak kemalangan Monorel akibat pokok tumbang baru-baru ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata tindakan pantas pemandu itu berjaya menyelamatkan lebih 30 penumpang yang ketika kejadian berada dalam pengangkutan itu.

"Beliau merupakan watak utama sebagai Kapten, dapat memberhentikan keretapi (Monorel), juga dibantu oleh pasukannya, diperingkat bilik kawalan operasi, pegawai stesen dan ramai lagi. Saya hargai tindakan beliau kerana jika tidak, tragedi lagi besar akan berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Wisma Monorel, di sini.

Sementara itu, Loke berkata Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan memperuntukkan RM50 juta untuk kerja-kerja menaik taraf pelbagai kemudahan di stesen monorel yang dijangka bermula seawal Oktober ini hingga April tahun depan.

Beliau berkata, kerja-kerja menaik taraf itu antaranya melibatkan pemulihan kerosakan lif di 11 stesen, membaiki pintu antara platform dan monorel serta tandas dan melengkapkan kawasan stesen dengan sejumlah kamera litar tertutup (CCTV).

Bagi kerosakan lif, Loke berkata kontrak pembaikan telah dianugerahkan dan akan dilaksanakan bermula Oktober ini hingga April tahun depan, antaranya melibatkan Stesen Imbi, Hang Tuah, Tun Sambanthan, Raja Chulan, Bukit Nenas, KL Sental, Chow Kit, Titiwangsa dan Maharajalela.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN