KUALA LUMPUR, 23 April- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam nahas membabitkan dua helikopter di Pangkalan TLDM, Lumut hari ini.
Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar berkata satu siasatan segera akan dijalankan Kementerian Pertahanan khususnya TLDM untuk mengenal pasti punca nahas tersebut.
Katanya, ia memberi kesan yang mendalam kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan satu kehilangan besar buat negara.
"Takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban dengan doa agar diberi kekuatan dalam menghadapi musibah ini.
"Mendoakan semoga roh semua yang terkorban dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosa mereka. Semoga Tuhan mengasihi mereka dan memberi tempat serta kedudukan yang istimewa di sisi-Nya," katanya.
Artikel Berkaitan:
Helikopter terhempas: Semua 10 mangsa disahkan terkorban - TLDM
Dua helikopter TLDM terhempas di Lumut, ada terkorban