KOTA KINABALU, 17 Mei- Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berkongsi maklumat yang tidak pasti mengenai insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada awal pagi tadi.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, orang ramai perlu mendapatkan maklumat daripada sumber yang sah, antaranya pihak berkuasa.
Ia bagi memastikan mereka tidak menyebarkan maklumat yang tidak betul berkenaan insiden terbabit.
"Insiden ini masih dalam siasatan dan kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan maklumat penuh kejadian, saya pasti PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan memberikan maklumat penuh mengenai insiden ini nanti. Kita serahkan kepada mereka.
"Nasihat saya kita jangan terburu-buru buat spekulasi, kerana boleh timbulkan berbagai reaksi tidak betul dan tidak baik mengenai insiden itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sembang santai bersama Komuniti MADANI di sini hari ini.
Tambah beliau, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan sebaran palsu atau mengganggu gugat ketenteraman awam di negara ini.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan turut merakamkan ucapan takziah daripada Jemaah Menteri kepada ahli keluarga anggota polis yang menjadi mangsa dalam insiden serangan berkenaan.
"Bagi pihak kerajaan dan Jemaah Menteri, saya ingin sampaikan dan rakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa terbabit dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram pada awal pagi tadi," katanya.
Dalam kejadian 2.45 pagi itu, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis dan suspek yang berusia lingkungan 30-an, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan itu cedera.
ARTIKEL BERKAITAN
Dua anggota polis maut, seorang cedera insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram
Suspek ahli Jemaah Islamiyah, lima ahli keluarga ditahan - IGP
Insiden serang Balai Polis U.Tiram: 7 individu direman esok- KP Johor
Insiden serang Balai Polis U.Tiram: Agong zahir takziah