fb fb fb fb fb

Insentif cukai kadar khas 15 peratus buat pekerja berpengetahuan di Iskandar Malaysia, Johor

KUALA LUMPUR, 27 Julai - Kerajaan akan memberikan insentif kadar cukai khas 15 peratus kepada pekerja berpengetahuan sebagai usaha memperkukuh pembangunan Iskandar Malaysia di Johor.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berkata kerajaan akan menyediakan kemudahan laluan pantas di imigresen sebagai memudah cara kemasukan golongan berkepakaran dari luar negara.

"Kemudahan akan ditawarkan kepada syarikat dan individu yang layak antaranya pemberian insentif cukai kadar khas, pemberian kadar cukai 15 peratus kepada pekerja berpengetahuan.

"Kerajaan akan terus memperkukuh pembangunan Iskandar Malaysia di Johor melalui pewujudan zon khas kewangan yang berdaya saing bagi menarik pelabur antarabangsa dan pekerja berpengetahuan menetap di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti, Bukit Kiara di sini hari ini.

Pada pembentangan Belanjawan Persekutuan 2023 Februari lalu, Perdana Menteri mencadangkan untuk memperkukuhkan lagi pembangunan Iskandar Malaysia di Johor melalui pewujudan zon khas kewangan.

Terdahulu, Anwar berkata kerajaan akan memperkenalkan insentif cukai berasaskan pencapaian bagi mendukung dan memberi ganjaran kepada syarikat yang menumpukan aktiviti berdampak tinggi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata semua pihak perlu mengurangkan kebergantungan pada buruh asing kurang mahir.

Katanya, ini kerana menyumbang kepada nilai gaji keseluruhan yang rendah.

"Ini juga mengurangkan moral dan insentif majikan untuk berinovasi dan meningkatkan tahap berdaya saing.

"Kerajaan berhasrat melaksanakan levi pekerja asing berperingkat (tiered foreign worker levies), iaitu sebahagian peningkatan hasil levi akan dikhususkan untuk program automasi serta latihan untuk pekerja tempatan," jelasnya lagi.

Anwar juga berkata, semua pihak mesti melaksanakan pembaharuan supaya Malaysia dapat tergolong antara 12 ekonomi terbaik di dunia dari segi daya saing dan “ease of doing business”.

"Maka, seharusnya diuar-uarkan ke seluruh pelosok dunia bahawa, Malaysia terbuka dan bersedia menerima kehadiran para pelabur dan perniagaan.

"Alhamdulillah, setakat ini beberapa syarikat telah menzahirkan komitmen pelaburan antaranya Sumitomo Corporation, Tesla, Rongsheng dan Samsung Engineering.

"Kita perlu memperhebat usaha bagi memastikan lebih banyak lagi memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan," tambahnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN:
BNM, SC perkukuh sistem kewangan Islam - Anwar
'Hanya melalui pendidikan berkualiti rakyat keluar daripada belenggu kemiskinan' - PM
Masalah keciciran pelajar akan ditangani - Anwar
PM mahu buruh wanita cecah 60 peratus setanding ekonomi serantau
RM800 juta tambahan infrastruktur bekalan air, elektrik di Kelantan dan Sabah
Sektor kenderaan elektrik, inisiatif tarik pelabur asing - Penganalisis
Wilayah Iskandar Malaysia catat pelaburan komited RM13 bilion pada separuh pertama 2022

Media Baharu