fb fb fb fb fb

Inovasi Skypatcher UPM raih Anugerah Khas & Emas SIIC 2023

Foto hiasan/Bernama

SERDANG, 12 Disember –Alat penampal poster untuk reruai pameran, Skypatcher inovasi Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya merangkul Anugerah Khas utama Diamond Award untuk Kategori Profesional dalam Pertandingan STEM, Invention & Innovation Competition (SIIC 2023).

Menurut kenyataan UPM, pertandingan berlangsung secara dalam talian pada 24 sehingga 26 September lalu dan pengumuman disiarkan pada 7 Disember lalu.

Skypatcher turut meraih Pingat Emas dan menerima Anugerah Khas Top 5 Award (Online – Profesional) bagi kategori sama. SIIC 2023 dipertandingkan mengikut empat kategori utama iaitu Teknokrat Cilik, Teknokrat Muda, Siswa dan Profesional.

Projek Skypatcher itu diketuai Asrizam Esam dari Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Langit Putra , Putra Science Park, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM.

Menurut Asrizam, Skypatcher adalah inovasi alat penampal poster untuk reruai pameran yang dapat digunakan bagi mempercepatkan proses penampalan dan meningkatkan keselamatan pempamer.

“Pempamer yang perlu menampal poster pada reruai pameran standard shell scheme, kebiasaannya digunakan untuk pameran seperti di KLCC, MITEC, WTC; berisiko untuk terjatuh dan mengambil masa lama bagi kerja penampalan,” katanya.

Kelebihan Skypatcher mampu menampal poster sepantas 11 saat adalah cetusan idea berdasarkan kesukaran dihadapi selama ini disebabkan tiada alat bantu dalam pasaran bagi membantu menampal poster pertandingan untuk reruai pameran.

“Lazimnya, kaedah menampal poster pada ketinggian ini memerlukan alat bantu seperti tangga bagi membantu memudahkan proses penampalan. Bagaimanapun, faktor saiz tangga yang panjang dan berat menyebabkan ia sukar untuk dibawa serta masalah ruang sempit di tapak pameran,” tambah Asrizam.

Katanya, selain isu keselamatan, menampal poster mengikut ketinggian sama tanpa senget adalah perkara yang merenyahkan dan memerlukan masa tetapi penting kerana ia boleh menjejaskan imej organisasi.

Prototaip Skypatcher dibangunkan menggunakan bahan kitar semula dan mampu mempercepatkan 70% masa penampalan selain dapat mengelak risiko terjatuh sepenuhnya.

“Alat ini ringan, mudah digunakan dan mampu dikendalikan oleh seorang petugas sahaja berbanding dua hingga empat orang menggunakan kaedah lama,” jelas Asrizam.

STEM Invention & Innovation Competition (SIIC 2023) adalah program anjuran Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional, Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Sekolah Teknik Terengganu, PIBG dan Alumni, dan Digit 360 Sdn Bhd iaitu syarikat pemula Universiti Teknologi Mara (UITM).

Objektif program adalah untuk mengembangkan bakat pelajar dan pendidik dalam bidang STEM di samping memupuk bakat pelajar dalam bidang penyelidikan dan Pembangunan inovasi STEM.

MAT YUNUS BIN SABRI