SHAH ALAM, 6 Mei- Kerajaan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melancarkan Inisiatif Solar Peralihan Tenaga Untuk Rakyat atau Solar PETRA dan Program Solar Boleh sebagai usaha pengurangan jejak karbon negara.
Dua inisiatif itu dirangka secara khusus untuk meluaskan akses rakyat kepada menerusi skim pemasangan solar di premis kediaman.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, peningkatan penjanaan daripada sumber tenaga boleh baharu seperti solar, akan menjadi antara faktor kejayaan utama dalam membolehkan negara mencapai aspirasi perubahan iklim.
"Dengan ada kemudahan ini maknanya kumpulan-kumpulan boleh mohon pemasangan solar dibumbung. Ia bukan sahaja untuk menjimatkan penggunaan tenaga oleh pengguna elektrik tetapi lebih utama adalah untuk pastikan kelestarian alam sekitar kita iaitu pelepasan gas dapat dikurangkan.
"Kita juga menyasarkan pengurangan jejak karbon negara pada 2050," katanya dalam Majlis Pelancaran inisiatif Solar Peralihan Tenaga Untuk Rakyat atau Solar PETRA dan juga Program Solar Boleh di sini.
Program tersebut merupakan usaha sama antara PETRA, AEON Company (M) Berhad, SOLS Energy dan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Suruhanjaya Tenaga dan SEDA Malaysia dalam merangka dan seterusnya merealisasikan pelaksanaan program tersebut.
Ia bagi mempromosikan tawaran produk solar inovatif kepada pengguna domestik yang disediakan pihak swasta.
Selain itu, ia juga program tambahan kepada Skim Insentif Solar Rakyat (SolaRIS) yang diperkenalkan kerajaan pada April lalu dan sedang dilaksanakan oleh Tenaga Nasional Berhad.