
BACHOK, 6 Mac – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) komited membantu komuniti masjid menubuhkan serta mengembangkan perniagaan koperasi bagi meningkatkan sosioekonomi kariah dan penduduk setempat.
- 588 koperasi kariah masjid aktif, hampir 49,000 anggota, aset terkumpul kira-kira RM42 juta dan perolehan tahunan hampir RM17.5 juta.
- SKM menyediakan pelbagai bantuan termasuk peruntukan lebih RM200 juta untuk membangunkan perniagaan koperasi secara menyeluruh.
- Program Jualan Madani Koperasi menyubsidi RM12,000, tawarkan diskaun hingga 20% dan menyerahkan bakul makanan kepada 100 asnaf.
Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Noor Afifah Abdul Razak, menyatakan bahawa Koperasi Kariah Masjid antara yang mencatat prestasi memberangsangkan sepanjang tahun lalu.
Setakat ini, 588 Koperasi Kariah Masjid aktif di seluruh negara dengan keahlian hampir 49 ribu orang.
Keseluruhan koperasi berkenaan merekodkan aset terkumpul kira-kira RM42 juta dan perolehan tahunan hampir RM17.5 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Noor Afifah Abdul Razak menjelaskan, di SKM terdapat pelbagai bantuan yang disediakan untuk koperasi di SKM.
“Bukan sahaja koperasi kariah masjid tetapi secara keseluruhannya. SKM turut memperuntukkan lebih RM200 juta bagi membantu koperasi membangunkan perniagaan dengan pelbagai bentuk sokongan disediakan,” katanya selepas menyempurnakan Perasmian Program Jualan Madani Koperasi (JMK) di perkarangan Masjid An Nur, Badak di sini.
Turut hadir Pengarah SKM Cawangan Negeri Kelantan, Dr. Akram Hassan.
Mengulas lanjut, Noor Afifah berkata, terdapat sebanyak 36 koperasi kariah masjid berdaftar di Kelantan dengan jumlah keseluruhan aset hampir RM1.9 juta.
Mengenai Program Jualan Madani Koperasi (JMK), SKM memperuntukkan subsidi sebanyak RM12 ribu bagi jualan barangan keperluan asas, dengan pengunjung menikmati diskaun sehingga 20 peratus.
Pada majlis sama, turut berlangsung penyerahan bakul makanan kepada 100 asnaf serta tazkirah Ramadan bertajuk “Keusahawanan Koperasi Kariah Masjid Menjana Ekonomi Ummah”.
Program ini bertujuan untuk menyebarluaskan peranan SKM sebagai antara agensi pembangunan sosioekonomi masyarakat, di samping memperkasa peranan masjid dan koperasi kariah masjid sebagai pusat tumpuan ekonomi serta pentadbiran umat Islam.