
KUALA LUMPUR, 12 Februari – Inisiatif Skim Praktikal Wajib Berbayar digariskan kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebagai salah satu usaha untuk menangani isu kos sara hidup pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), selain memperkukuh latihan industri.
- Kerajaan perkenal Skim Praktikal Wajib Berbayar dalam RMK13 untuk bantu kos sara hidup pelajar IPT dan kukuhkan latihan industri.
- KPT komited jaga kebajikan pelajar dengan kajian, dasar baharu dan cadangan pindaan Akta Kerja 1955.
- MySIP mendorong majikan beri elaun minimum RM500 untuk diploma dan RM600 untuk ijazah sarjana muda.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim berkata pihaknya sentiasa komited dalam menjaga dan melindungi kebajikan pelajar terutama ketika menjalani latihan industri.
Ini termasuk melaksanakan kajian, membangunkan dasar latihan industri baharu, memberi cadangan terhadap pindaan kepada Akta Kerja 1955 serta menyediakan inisiatif untuk menarik lebih ramai pemain industri menawarkan latihan industri.
“Pada masa ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia melalui Program Latihan Industri Berstruktur Nasional (MySIP) yang diterajui oleh TalentCorp.
“Menerusi inisiatif itu, syarikat atau organisasi yang menawarkan latihan industri dikehendaki membayar elaun minimum RM500 untuk pelajar diploma dan RM600 kepada pelajar ijazah sarjana muda,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary mengenai langkah segera menangani kos sara hidup pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) termasuk isu latihan industri tanpa elaun.