SUNGAI PETANI, 3 Mac- 40 buah rumah akan dibina bawah Inisiatif Perumahan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara, tahun ini.
170 rumah lagi akan dibaik pulih dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM5.7 juta.
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus berkata tahun lalu pihaknya berjaya menyiapkan 31 buah rumah dan membaik pulih 152 rumah dengan peruntukan yang sama.
Sehingga Mac tahun ini sebanyak 32 permohonan diterima.
11 daripadanya telah diluluskan manakala selebihnya masih dalam proses semakan.
"Secara puratanya permohonan yang kita terima 50 hingga 60 buah rumah tetapi kita melihat juga persimpangan antara projek rumah baharu dan juga baik pulih.
"Jadi kita menyasarkan 40 bina baharu. Kalau permohonan bina baharu itu kurang kita perbanyakkan, lihat balik permohonan untuk baik pulih," Zambery selepas Majlis Serahan Kunci Rumah Inisiatif Perumahan Veteran ATM peringkat negeri Kedah Tahun 2023, di Kg Tengah, Padang Temusu di sini.
Rumah ini, dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu, ruang dapur dan ruang makan.
Sebuah lagi rumah sama turut siap dibina di Kupang, Baling.
(Inisiatif perumahan veteran ATM: 40 rumah dibina, 70 dibaik pulih tahun ini)
"Saya banyak berterima kasih dan bersyukur kepada Allah. Memang selesa banyak, saya buat permohonan cukup cepat sampai kepada veteran (JHEV ATM), selang tiga empat hari mereka buat lawatan," luah penerima, Abd. Halim Salleh
"Bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam pembinaan rumah makcik. Terima kasih tak terhinggalah. Mak cik ucap terima kasih itu sahaja ," kata seorang lagi penerima, Rahani Aziz.
Melalui program tersebut, veteran ATM akan menerima dua peringkat bantuan iaitu pertama, subsidi bawah Skim Rumah Mesra Rakyat yang dikawal selia Suruhanjaya Perumahan Negara Berhad (SPNB) sebanyak RM20,000.
Bagi peringkat kedua, bantuan perumahan JHEV ATM berjumlah RM65,000 di Semenanjung dan RM75,000 di Sabah dan Sarawak.
Manakala kos baik pulih rumah pula berjumlah RM17,000 seunit.