TAIPING, 8 Disember- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan peningkatan sumbangan industri landskap sebanyak RM40 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2035, melalui Dasar Landskap Negara 2.0.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, ketika ini sumbangan industri itu kepada KDNK negara adalah sekitar RM4 bilion.
Beliau berkata dengan pelaksanaan Dasar Lanskap Negara 2.0, sumbangan itu disasar meningkat dari 0.23 peratus kepada 3.5 peratus menjelang sepuluh tahun akan datang.
"Industri landskap akan menjadi fokus utama Dasar Landskap Negara supaya kita dapat bangunkan industri landskap yang kini dianggarkan bernilai lebih kurang RM4 bilion dibangunkan sehingga RM40 bilion dalam tempoh sepuluh tahun, menjelang 2035.
"Seandainya misi ini berjaya, ia akan dapat mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan. Malahan perabot-perabot, produk-produk landskap negara boleh dibangun serta dieksport sebagai salah satu lagi sumber pendapatan negara", katanya.
Tambahnya, dasar berkenaan juga mahu menyaksikan peningkatan pemeliharaan biodiversiti melalui pengekalan 30 peratus kawasan hijau di seluruh negara, di samping peningkatan prestasi kesejahteraan sosial dalam Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia.
Ujarnya, dasar itu mempunyai lima teras, 18 strategi dan 47 pelan tindakan yang menumpukan aspek pembangunan landskap mampan, perkembangan industri berkaitan landskap, pemangkin kesejahteraan rakyat dan pembudayaan gaya hidup sihat melalui landskap.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sentuhan Kejayaan KPKT 2024 untuk Jabatan Lanskap Negara dan Pelancaran Dasar Lanskap Negara 2.0 di Taiping.