fb fb fb fb fb

Industri halal dijangka meningkat 11 peratus pada 2030

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyampaikan ucapan bagi pihak Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Makan Malam Gala Sidang Kemuncak Halal Global 2025/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 September - Ekonomi halal global kini bernilai lebih US$3 trilion (RM12.6 trilion) dan dijangka meningkat kepada US$5 trilion menjelang 2030.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, angka itu merangkumi makanan, farmaseutikal, kosmetik, pelancongan, logistik, kewangan serta ekonomi digital.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia berkata, industri halal telah menjadi tonggak penting ekonomi negara yang menyumbang 7.5 peratus (RM150 bilion) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Dan dijangka jumlah itu akan meningkat kepada 11 peratus menjelang 2030.

“Eksport halal negara kini berjumlah kira-kira US$8 bilion setahun, bersamaan lebih lima peratus daripada jumlah keseluruhan eksport negara,” katanya pada majlis makan malam sempena Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2025 di ibu negara, malam tadi.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Tambah beliau, eksport halal Malaysia mencapai US$13.1 bilion pada tahun lalu, peningkatan 15 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan sasaran mencecah US$17 bilion menjelang tamat Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

GRACE AISYAH KEDAYAN