fb fb fb fb fb

Individu hilang di Empangan Chenderoh ditemukan lemas

Foto Ihsan JBPM

KUALA KANGSAR, 21 Januari - Seorang individu yang dilaporkan hilang pada Jumaat lepas apabila bot dinaikinya karam di Empangan Chenderoh, di Kampung Chenderoh, di sini ditemukan lemas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata mayat Muhammad Khairul Rusydan, 30 tahun, ditemukan terapung oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM pada 8.37 pagi tadi.

"Mayat mangsa ditemukan pada jarak kira-kira 500 meter dari Pusat Kawalan Bomba yang didirikan bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR). Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya menerusi kenyataan.

Muhammad Khairul sebelum ini dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki bersama seorang rakannya karam akibat ribut.

Rakannya, bagaimanapun sempat diselamatkan pemancing yang berada di lokasi berhampiran lokasi kejadian.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN