fb fb fb fb fb

Indeks Persepsi Rasuah Malaysia perlu diperbaiki- KSN

PUTRAJAYA, 17 Mei- Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia perlu diperbaiki sebaik mungkin memandangkan kedudukan CPI negara jatuh ke tangga 62 dunia berbanding tangga 57 dunia, pada 2020.

Selaras itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata penganjuran Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah 2022 (AIGA 2022) adalah selari aspirasi yang digariskan dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP).

"Realiti pahit yang perlu kita terima dengan hati terbuka apabila Indeks Persepsi Rasuah (CPI ) Malaysia berada dalam kedudukan yang kurang memberangsangkan kebelakangan ini.Meskipun ia sekadar persepsi, namun realiti ini adalah isyarat penting kepada kita semua untuk meneruskan tekad membanteras gejala rasuah dengan membudayakan integriti yang tinggi dalam kalangan agensi dan individu sama ada dalam perkhidmatan awam mahu pun swasta," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan AIGA 2022 di Putrajaya.

Anugerah ini juga diharap menjadi penanda aras terbaik bagi organisasi awam mahupun swasta dalam membudayakan integriti, tadbir urus terbaik dan anti rasuah.


(Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali melancarkan AIGA 2022 di Putrajaya)

Dalam pada itu, Zuki dalam ucapannya berkata, AIGA 2022 merupakan pendekatan baharu yang diperkenal dalam usaha memperkasakan peranan IIM sebagai peneraju utama pembudayaan serta penerapan nilai integriti dan tadbir urus organisasi.

"Penyertaan AIGA terbuka kepada semua agensi awam dan swasta tanpa mengira saiz organisasi manakala kriteria penilaian memfokuskan keupayaan dan ketersediaan organisasi dalam proses dalaman. Sehubungan dengan itu, saya menjemput semua organisasi tidak kira sektor swasta atau awam untuk mengambil peluang menyertai AIGA 2022," ujarnya lagi.

Beliau turut berharap pelancaran AIGA akan berjaya menyuntik semangat dan komitmen berterusan terutama kepada semua organisasi dalam takbir urus masing-masing.

Media Baharu