KUALA LUMPUR, 5 November - Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tahun lalu meningkat empat anak tangga dari kedudukan 61 pada tahun 2022, kepada 57 meliputi 180 negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kedudukan itu bukti usaha kerajaan memperbaiki tadbir urus dan ketelusan berhasil.
Katanya, Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 serta penubuhan Pasukan Petugas Khas CPI, antara komitmen berterusan ke arah mencapai sasaran negara menduduki tangga 25 teratas dunia CPI bagi tempoh 10 tahun akan datang.
“Dalam usaha memerangi rasuah dan memperkukuhkan integriti, kita tidak boleh hanya bergantung kepada kerajaan dan sektor swasta. NGO dan masyarakat sivil mempunyai peranan penting dalam meningkatkan kesedaran, mendidik masyarakat, dan memantau pelaksanaan dasar kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Bulan Integriti Nasional di ibu negara.