fb fb fb fb fb

Impak industri perlombongan NRREE antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

FOTO FAIL

KUALA LUMPUR, 22 November - Industri perlombongan nadir bumi bukan radioaktif (NRREE) dan pengasingan kuasa Kementerian Kewangan di bawah tata kelola kerajaan menjadi tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut aturan urusan mesyuarat di laman sesawang Parlimen, isu berhubung perancangan kerajaan dalam memastikan industri perlombongan NRREE tidak meninggalkan kesan terhadap kelestarian alam sekitar dan impak sosial kepada penduduk dikemukakan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) pada sesi soal jawab.

Pada sesi sama, Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) bertanyakan kepada Menteri Ekonomi mengenai perincian pengasingan kuasa Kementerian Kewangan di bawah tata kelola Kerajaan MADANI, iaitu sama ada Perbelanjaan Pembangunan (DE) di bawah Menteri Ekonomi dan Perbelanjaan Mengurus (OE) di bawah Menteri Kewangan.

Wong Chen (PH-Subang) pula bertanyakan status rundingan bagi semua Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan Perjanjian Penggalakan dan Perlindungan Pelaburan iaitu Perjanjian Jaminan Pelaburan (IGA) atau Perjanjian Pelaburan Dua Hala (BIT) kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Wong turut bertanyakan mengenai proses perundingan, mekanisme dan jangka masa perundingan untuk perjanjian-perjanjian berkenaan.

Selain itu, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengajukan soalan kepada Menteri Ekonomi mengenai projek strategik dan inisiatif dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang dilancarkan pada 27 Julai lepas bagi Malaysia mencapai sasaran 70 peratus tenaga diperbaharu menjelang 2050.

Selesai sesi itu, persidangan Dewan Rakyat akan menyambung semula sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa kementerian berkaitan.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari bermula 9 Okt lepas hingga 30 Nov ini. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF