JOHOR BAHRU, 8 Jun - Seramai 214 warga asing dan dua warga tempatan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Pontian dan Johor Bahru, awal pagi tadi, kerana dipercayai tinggal lebih masa, bekerja tanpa permit dan tidak memiliki dokumen sah.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Jafri Embok Taha berkata tangkapan dijalankan menerusi dua serbuan berasingan di penempatan pekerja dalam kawasan pembinaan.
"Dalam operasi kali ini, kita juga telah berjaya menahan PATI yang telah menggunakan kad UNHCR palsu dan kita telah menahan mereka yang menggunakan kad palsu ini," katanya ketika ditemui pemberita, di sini.
Beliau berkata, operasi di Pontian menahan 92 warga asing, antaranya 53 warganegara Bangladesh, 30 warga China, empat warga India, berusia 20 hingga 40 tahun manakala operasi di Johor Bahru menangkap 122 warga asing, antaranya 70 warga Bangladesh, 31 warga Indonesia.
Dua lelaki warga tempatan berusia 62 dan 35 tahun turut ditahan dalam kedua-dua operasi kerana menjadi penjaga kepada warga asing berkenaan.
Secara keseluruhan, 977 warga asing dan tempatan telah diperiksa dalam operasi tersebut.
Kesemua mereka ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika, di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).