fb fb fb fb fb

Imigresen Johor tahan empat wanita Indonesia, seorang lelaki Myanmar

Anggota imigresen melakukan pemeriksaan terhadap pekerja asing

SEGAMAT, 17 Januari-  Jabatan Imigresen negeri Johor menahan empat wanita Indonesia dan seorang lelaki Myanmar dalam operasi di 13 premis sekitar daerah Segamat, semalam.

Mereka yang ditahan berusia antara 30 hingga 51 tahun.

Pengarah Imigresen Johor Baharuddin Tahir dalam kenyataannya berkata, operasi dibuat hasil aduan orang awam mengenai kehadiran pekerja asing yang dipercayai melanggar syarat pas di premis berkaitan.

"Seramai 58 orang diperiksa sepanjang operasi bermula pukul 11.00 pagi hingga 9.00 malam itu, dengan lima daripadanya ditahan untuk siasatan.

"Kes disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas ditetapkan. Serta seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah," kata Baharuddin.

Sebanyak tiga notis hadir ke pejabat imigresen juga dikeluarkan kepada individu yang ditahan bagi membantu siasatan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI