Iktiraf kelayakan pendidikan, KPT akan adakan perbincangan bersama MQA minggu hadapan

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir/Bernama

PUTRAJAYA, 31 Januari – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengadakan perbincangan bersama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) minggu hadapan bagi meneliti aspek pengiktirafan kelayakan pendidikan susulan keputusan kerajaan mewajibkan pelaksanaan Bahasa Melayu dan Sejarah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perbincangan antara KPT dan MQA minggu hadapan untuk meneliti pengiktirafan kelayakan pendidikan.
  • Perbincangan bertujuan memastikan kelulusan pelajar selaras syarat kemasukan IPT.
  • Semua aliran pendidikan termasuk antarabangsa, agama dan UEC akan turut terlibat.
  • Keputusan dibuat teliti dan berperingkat untuk membuka peluang pendidikan yang adil.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, perbincangan tersebut bagi memastikan kelulusan yang diperoleh pelajar daripada pelbagai aliran pendidikan, selaras dengan syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi.

Menurut beliau, keputusan kerajaan seperti diumumkan oleh Perdana Menteri melibatkan semua aliran pendidikan, termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama dan sekolah yang menawarkan Unified Examination Certificate (UEC).

“Proses perbincangan telah dimulakan oleh Menteri Pendidikan kerana ia berkait rapat dengan pensijilan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Hasil perbincangan itu kini dibawa ke peringkat seterusnya untuk menilai aspek kelulusan dan pengiktirafan,” katanya.

Beliau menjelaskan, perbincangan lanjut akan melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk wakil sekolah antarabangsa, sekolah agama dan pihak UEC sendiri.

Antara agensi yang terlibat ialah Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi KPT serta Ketua Pegawai Eksekutif MQA, khususnya dalam membincangkan aspek teknikal berkaitan jaminan kualiti dan pengiktirafan kelayakan.

Datuk Seri Dr Zambry menegaskan, pelaksanaan dasar tersebut bukan bersifat paksaan, sebaliknya bertujuan membuka ruang dan peluang pendidikan yang adil kepada semua rakyat Malaysia.

Beliau turut menambah, sebarang keputusan akan dibuat secara teliti dan berperingkat selaras dengan dasar kerajaan, demi memastikan kepentingan pendidikan negara terus terpelihara.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan