(Datuk Idris ketika sidang media pada Majlis Pelancaran Mashaf Al-Quran Braille Malaysia Peringkat Kebangsaan 1443H/2022 di Auditorium Kompleks Islam Putrajaya hari ini/BERNAMA)
PUTRAJAYA, 26 April - Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) diminta menyiasat kemunculan laman sosial yang menawarkan pakej taubat dengan bayaran 20 ringgit.
Tegas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad tawaran iklan-iklan terbabit yang mempermainkan agama tidak sepatutnya wujud di media sosial.
(Orang Kelainan Upaya (OKU) Penglihatan Mohd Firdaus Khairi membaca surah Al Mulk Ayat 1 hingga 10 menggunakan Mashaf Al-Quran Braille pada Majlis Pelancaran Mashaf Al-Quran Braille Malaysia Peringkat Kebangsaan 1443H/2022 di Auditorium Kompleks Islam Putrajaya hari ini/BERNAMA)
Beliau turut mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab mengaut keuntungan di atas kejahilan orang lain yang kurang ilmu agama dan mudah terpedaya.
"Timbulnya isu taubat, benda pelik-pelik ini ialah berpunca daripada kita ini jahil tentang agama akhirnya orang mengambil kesempatan atas kejahilan kita untuk nak gunakan agama bagi perniagaan mereka.
" Kalau kita orang cerdik kita tau taubat tak taubat Allah Taala tak perlu pon tol, Allah Taala tak perlu pon orang perantaraan, tak perlu kita nak taubat kita buat dosa, kita buat maksiat, kita minum arak, kita berjudi ka kerana pintu taubat sentiasa terbuka, selagi matahari tak naik sebelah barat, selagi nyawa kita tak lepas halqum, tak perlu jumpa tok guru,ustaz ka mana-mana, kita direct terus dengan Allah," Datuk Idris terdahulu melancarkan Mashaf Al-Quran Braille Peringkat Kebangsaan di Kompleks Islam Putrajaya, di sini.
Pada majlis tersebut, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Persatuan Orang –Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) bekerjasama menghasilkan Standard Penulisan Mashaf al-Quran Braille Malaysia.