fb fb fb fb fb

IKIM mengalu-alukan resolusi PBB, gesa Israel berundur

Kediaman penduduk Palestin musnah semasa serangan tentera Israel di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza/ REUTERS

KUALA LUMPUR, 19 September- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mengalu-alukan penerimaan Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa Israel berundur ke sempadan sebelum 1967.

Ketua Pengarah IKIM Prof. Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dalam satu kenyataan berkata, resolusi itu sejajar dengan prinsip undang-undang antarabangsa dan menyokong Ketetapan Penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) baru-baru ini pada Rabu yang mengesahkan larangan sejagat terhadap pemerolehan wilayah secara paksa.

"Walaupun ini merupakan langkah penting ke arah keadilan, IKIM mengesyorkan semua pihak untuk meneruskan tindakan berani bercakap benar kepada kuasa zalim tersebut, dan secara bijak melancarkan penentangan positif yang berasaskan ilmu terhadap tindakan-tindakan zalim yang berterusan rejim zionis.

"IKIM menggesa masyarakat Islam antarabangsa bersama bangsa-bangsa lain yang prihatin untuk memastikan resolusi ini membawa kepada tindakan yang berkesan dan tidak menjadi simbolik semata-mata," katanya.

Dalam pada itu IKIM juga memuji pendirian kukuh negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), termasuk Malaysia, dalam mengundi menyokong resolusi itu.

Pendirian kukuh itu mencerminkan komitmen berterusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia untuk menangani kezaliman terhadap rakyat Palestin.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI