fb fb fb fb fb

IHH Healthcare Malaysia pasang panel solar di seluruh rangkaian hospital

Foto FB Menteri

KUALA LUMPUR, 29 April- IHH Healthcare Malaysia mencatatkan pencapaian baharu dengan melancarkan inisiatif pemasangan panel solar di seluruh rangkaian hospitalnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata inisiatif itu wajar dijadikan contoh terbaik ke arah komitmen terhadap kemampanan dan tenaga boleh diperbaharui.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata kementeriannya juga akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memperluaskan inisiatif tersebut di hospital-hospital kerajaan seluruh negara.

"Setakat ini, bergantung dengan bajet yang ada pada mereka. Apa yang kita rencanakan ialah untuk mereka bekerja dengan pihak swasta, selaku penyumbang perkhidmatan."

"Seperti IHH juga, dimana mereka yang akan pasang tetapi nanti akan ada perkongsian keuntungan daripada segi penjimatan tenaga. Pada masa sama, kita juga boleh lakukan ialah perdagangan karbon. Dengan sijil yang ada, mereka akan dapat manfaat untuk menjual sijil itu supaya mereka akan dapat pulangan," kata Fadillah kepada pemberita selepas merasmikan Sistem Solar, IHH Healthcare Malaysia di Hospital Prince Court, di ibu negara.

Dalam pada itu, katanya, PETRA akan bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam usaha memastikan lebih ramai rakyat menyertai pemasangan solar di kediaman mampu milik.

Jelasnya, ia merupakan salah satu rancangan kerajaan dan terdapat insentif tertentu yang ditawarkan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM