KUALA LUMPUR, 10 Oktober- Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) menjadi platform perkongsiaan dan kerjasama dalam meningkatkan pasaran karbon.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, persidangan tersebut memberi peluang yang besar kepada Malaysia untuk terus mencapai kemajuan sebagai peneraju dalam tenaga hijau dan boleh diperbaharui.
Jelasnya, IGEM juga selaras dengan persediaan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun hadapan dalam mempamerkan kerjasama rentas sempadan, bertukar pandangan serta cabaran dalam menangani krisis iklim.
Tahun ini beberapa perkara baru diterapkan dalam IGEM 2024, antaranya, Zon Industri khusus untuk Teknologi Hidrogen dan Karbon, Peralihan Tenaga Pusat Asia serta Pameran Pelbagai Nilai.
"Kami percaya, ketika kami berada di pertengahan tahun, kami menghasilkan NETR, menyusun dasar perubahan iklim negara dan berada di bahagian akhir memperkenalkan Rang Undang-undang perubahan iklim dan rangka kerja pasaran karbon.
"Ia datang pada masa yang sangat strategik dan tahun depan sebagai tuan rumah ASEAN, kami menyasarkan untuk menjadikan IGEM berkembang melangkaui hampir semua rantaian perniagaan termasuk polisi melalui persidangan tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan IGEM 2024 di ibu negara.
Memasuki tahun ke-15 penganjurannya, IGEM 2024 menampilkan 480 pempamer dengan keterlibatan 48 negara serta menyasarkan potensi perniagaan sebanyak RM4.8 bilion.
Persidangan yang bermula hari ini sehingga Jumaat, turut mendapat kerjasama daripada Malaysian Green Technology and Climate Change Cooperation (MGTC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Bertemakan ‘Race Towards Net Zero: Regional Leadership for Climate Urgency,’ penganjuran edisi 2024 berdasarkan lima teras utama iaitu memperkasakan bandar, mengelektrifikasi mobiliti, menyahkarbonkan tenaga, memulihara biodiversiti, dan accelerating circularity.