SERDANG, 21 Ogos- Seramai 127 peserta dalam dan luar negara telah menyertai International Fundamental Science Congress (IFSC2024) anjuran Fakulti Sains (FS), Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi membincangkan penemuan terkini dalam bidang sains asas, baru-baru ini.
Naib Canselor UPM, Datuk Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata penemuan sains asas perlu dimanfaatkan untuk mencipta masa depan yang lebih lestari dalam menghadapi cabaran semasa seperti perubahan iklim dan kemerosotan sumber asli.
"Kongres ini menjadi landasan untuk perbincangan antara ahli saintis, pelajar dan ahli akademik bagi memastikan penemuan saintifik tidak terhenti di makmal tetapi diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi impak positif kepada kehidupan seharian," katanya.
Tambahnya, penganjuran itu juga selari dengan Blueprint Keterjaminan Makanan yang telah dihasilkan oleh UPM yang menekankan kecerdasan buatan (AI) dan sains dalam dalam pemakanan.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan yang juga menjadi penceramah ucaptama dalam kongres tersebut dan membincangkan Dasar Pengkomersialan Harta Intelek dan Ciptaan yang Dibiayai oleh kerajaan 2021-2025.
Kongres edisi ke-15 itu mengangkat tema 'Dari Makmal ke Kehidupan: Menterjemahkan Penemuan Saintifik untuk Masa Depan Lestari', menekankan penerokaan penemuan saintifik di makmal yang diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal dan aplikasi dunia nyata.
Kongres yang diadakan merupakan anjuran bersama Kasetsart University, Thailand dan IPB University, Indonesia yang juga mendapat penyertaan dari negara Korea, China dan Nigeria.