fb fb fb fb fb

Identiti empat beranak maut kemalangan dikenal pasti

KAMPAR, 16 Mei- Identiti empat individu yang maut dalam nahas di kilometer 310.1 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan awal pagi tadi dikenal pasti.

Mangsa terlibat ialah pemandu kenderaan, Muhammad Azib Nasaruddin, 23 tahun; ibunya, Azriyani Abdul Latif, 45 tahun serta dua adik mangsa, Siti Nur Aminah, lapan tahun dan Ahmad Uwais Al Qorni, lima tahun.

Seorang lagi adik mangsa, Muhammad Fawwaz, tujuh tahun mengalami cedera parah.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dinaiki keluarga tersebut sedang dalam perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur.

"Apabila tiba di lokasi kejadian kenderaan berkenaan telah melanggar bahagian belakang sebuah lori membawa muatan tanah di lorong sebelah kiri.

Akibat pelanggaran itu, empat mangsa maut di tempat kejadian kerana kecederaan di kepala manakala seorang lagi mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut," katanya.

(Kenderaan yang dinaiki mangsa remuk selepas merempuh belakang lori)

Tambah beliau, pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Proses bedah siasat ke atas mangsa maut akan dijalankan pagi ini di Hospital Kampar.

Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Media Baharu