fb fb fb fb fb

ICW, BuildXpo 2024 sasar jualan RM1 bilion

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR, 14 Mei- Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) dan Malaysia International Building and Construction Industry Exhibition (BuildXpo) 2024 menyasarkan hasil jualan sebanyak RM1 bilion kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Sasaran itu mampu dicapai menerusi sesi aktiviti padanan perniagaan antarabangsa serta mengambil kira keadaan sektor pembinaan negara semakin stabil.

Program yang bakal diadakan pada 22 hingga 24 Oktober depan merupakan program utama serantau melibatkan rangkaian, inovasi dan perkembangan dalam sektor pembinaan.

"Tahun lepas lebih 200 penyertaan daripada pempamer bersama dan tahun ini kita sasarkan lebih daripada angka itu.

"Angka jualan tahun lepas juga kita peroleh sekitar RM500 juta jadi tahun ini kita sasarkan melebihi RM1 bilion. Kita menjangkakan kita menyasarkan target yang tinggi sebab kita yakin dengan keadaan industri pembinaan negara ketika ini," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran ICW dan BuildXpo 2024 di ibu negara.

ICW 2024 anjuran bersama BuildXpo 2024 dijangka menarik 25 pembeli daripada 10 pasaran termasuk China, Thailand dan India.

Ia bakal mempamerkan rangkaian produk dan perkhidmatan daripada pelbagai sektor, termasuk teknologi pembinaan, jentera dan perkhidmatan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI