Ibu bapa sambut baik peluang anak masuk tahun 1 lebih awal

FOTO BERNAMA

PETALING JAYA, 24 Januari – Kerajaan baru-baru ini mengumumkan kanak-kanak seawal usia enam tahun berpeluang memasuki tahun satu lebih awal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ibu bapa menyambut baik peluang anak masuk Tahun 1 lebih awal jika layak.
  • Masuk awal dianggap membantu penyesuaian sekolah, keyakinan dan kemahiran sosial.
  • Kebimbangan utama ialah penguasaan 3M: membaca, menulis dan mengira masih belum memuaskan.
  • Ibu bapa bercadang membuat persiapan awal untuk memastikan anak bersedia belajar.

Pengumuman itu menerima reaksi daripada ibu bapa yang menyambut baik pengumuman tersebut, namun pada masa sama menyuarakan kebimbangan terhadap tahap kesiapsiagaan anak-anak.

Bagi sesetengah ibu bapa, kemasukan awal ke sekolah rendah dilihat mampu membantu kanak-kanak menyesuaikan diri dengan alam persekolahan lebih awal, selain membina keyakinan diri serta kemahiran sosial.

Namun, isu penguasaan kemahiran asas seperti membaca, menulis dan mengira (3M) menjadi antara kebimbangan utama, terutamanya apabila masih terdapat murid tahun dua yang belum menguasai kemahiran tersebut sepenuhnya.

“Bagusnya masuk sekolah rendah ini sebab dia lebih cepat mengenal sekolah. Lebih awal, dia tahu menggunakan duit, lebih awal kenal cikgu-cikgu dan kawan-kawan. Tapi masalahnya, kita risau tentang anak-anak sebab ada peperiksaan, kan? Kita risau jika anak-anak masih belum boleh membaca. Sekarang ini masih ada pelajar tahun dua atau tahun tiga yang masih tidak boleh membaca. Jadi, perkara ini agak membimbangkan untuk ibu bapa,” kata pekerja Jabatan Pembangunan Masyarakat, Muhammad Nor Hashim.

“Untuk itu, kita sambut baik saranan kerajaan sekiranya anak itu layak. Kita terimalah jika dibenarkan masuk tahun satu lebih awal, walaupun mengikut ketetapan, dia belum mencapai kematangan umur enam tahun. Daripada segi positif, budak cepat naik ke tahun seterusnya, lebih awal dapat memasuki alam persekolahan,” kata Penolong Pengarah (Jalan), Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Ts. Hezreen Nurzailin Jalil.

“Kalau ikutkan saya, ia sebenarnya sangat ok kerana anak akan menjadi budak yang lebih berminat untuk belajar. Maksudnya, ujian itu akan melahirkan minat belajar dalam dirinya. Sekarang ini, kami ada misi untuk persiapkan dia (anak) masuk tahun satu. Sebagai bapa, kami akan memastikan anak membuat persiapan untuk belajar, khususnya dalam tiga bidang asas iaitu 3M. Kami akan menekankan perkara ini kepada anak supaya dia bersedia. Anak saya yang sulung sekarang berumur enam tahun, maknanya tahun depan dia akan masuk tahun satu. Anak kedua saya pula berumur empat tahun, jadi mungkin saya ada sedikit masa untuk membuat persiapan untuknya nanti,” kata pereka grafik, Abdul Manap Zakaria.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan