
LABUAN, 23 Januari – Pelaksanaan penilaian pembelajaran baharu oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 disambut baik oleh ibu bapa yang melihatnya sebagai pendekatan lebih tersusun dalam mengukur pencapaian akademik pelajar.
- Ibu bapa Labuan menyambut baik penilaian pembelajaran baharu KPM sebagai pendekatan lebih tersusun dan tepat.
- Penilaian berpusat oleh Lembaga Peperiksaan mengukur murid tahun empat dan pelajar tingkatan tiga dengan mata pelajaran terperinci.
- Ibu bapa diminta proaktif dan bekerjasama dengan sekolah untuk bantu pelajar kenal kecenderungan dan tingkatkan persediaan.
Penilaian berkenaan akan dilaksanakan secara berpusat oleh Lembaga Peperiksaan, melibatkan pengukuran murid tahun empat serta pelajar tingkatan tiga.
Tinjauan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Labuan mendapati, kebanyakan ibu bapa menganggap langkah tersebut sebagai alternatif tepat susulan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), selain selari dengan keperluan pendidikan semasa.
Seorang bapa, Khairul Azad Yunus, berkata ketiadaan sistem penilaian berpusat sebelum ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa untuk menilai tahap pembelajaran anak-anak di sekolah.
“Pengenalan semula penilaian ini amat tepat pada masanya, namun dengan pendekatan baharu yang lebih sesuai dengan keperluan dan perkembangan pelajar masa kini, berbanding sistem lama,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa isu beban pembelajaran tidak seharusnya timbul sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing.
Sementara itu, Agusto Chandra, berpandangan penilaian berkenaan mampu meningkatkan tahap persediaan pelajar untuk menghadapi cabaran pendidikan pada masa hadapan.
“Ia bukan sahaja memberi gambaran jelas mengenai pencapaian pelajar, malah membentuk asas yang kukuh dalam persediaan mereka menghadapi peringkat pendidikan seterusnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Stacy Lee Laye Ying, ibu kepada empat orang anak yang masih bersekolah berkata, penglibatan aktif ibu bapa amat penting bagi membantu anak-anak memahami sistem pembelajaran baharu yang diperkenalkan.
Menurutnya, sistem tersebut membolehkan ibu bapa mengenal pasti kecenderungan anak-anak sama ada dalam bidang akademik atau kemahiran, sekali gus membantu mereka membuat perancangan pendidikan yang lebih berkesan.
“Jika ibu bapa bersikap proaktif dan bekerjasama dengan pihak sekolah, pelajar akan lebih bersedia menghadapi penilaian yang lebih mencabar,” katanya.
Pengukuran pembelajaran bagi murid tahun empat melibatkan empat mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, dan akan mula dilaksanakan tahun ini.
Manakala bagi pelajar tingkatan tiga, penilaian secara berpusat melibatkan mata pelajaran yang sama serta tambahan Sejarah, dan dijadualkan bermula tahun hadapan.