MEKAH, 9 Jun- Umat Islam perlu memahami, ibadah haji bukan sekadar mengunjungi Baitullah pada bulan-bulan haji dan melakukan ibadah tertentu.
Sebaliknya ia mempunyai makna yang meluas dan perlu difahami serta dihayati oleh setiap jemaah haji.
Ketua Pakar Rujuk Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Dr Anhar Opir berkata, ibadah haji berupaya membentuk akhlak yang lebih baik jika seseorang itu memahami setiap rukun dan perkara wajib yang dilaksanakan.
"Kita ambil satu daripada penghayatan ibadah haji iaitu berkaitan dengan pantang-larang yang kita tidak boleh buat apabila kita berihram.
"Ini yang ramai sangat takut. Buat kena dam,kena bayar fidyah sebagai contoh sampai jadi takut hendak melakukan ibadah haji dan umrah.
"Sebenarnya ini akan membantu seseorang supaya menjadi orang yang berakhlak dengan akhlak yang mulia", katanya yang juga Mufti Selangor ditemui pada sidang media di bangunan Ibu Pejabat Tabung Haji di sini.
Selain ibadah khusus, umat Islam juga disaran merebut seberapa banyak pahala dan fadilat ketika berada di tanah suci seperti bersedekah dan membantu orang lain.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan jemaah haji agar menanam sifat sabar dalam diri apabila berhadapan dengan ketikdakselesaan terutama ketika ibadah kemuncak di Masyair nanti.