fb fb fb fb fb

IASS 2023, peluang belia perluas rangkaian ke peringkat antarabangsa

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim (tengah)

PETALING JAYA, 17 November- Belia Malaysia berpeluang meluaskan rangkaian profesional dan pelaburan peringkat antarabangsa khususnya ke India.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata melalui inisiatif Indian ASEAN Startup Summit (IASS) 2023 dapat memupuk kerjasama antara usahawan pemula, pelabur dan korporat dari kedua-dua negara.

Tambahnya, persidangan itu memudahkan pertukaran pengetahuan dan pembelajaran selain dapat menjangkau sempadan inovasi, memacu pertumbuhan ekonomi, dan menangani cabaran abad ke-21.

Beliau menggesa belia memanfaatkan peluang kerjasama dua hala berkenaan, meneroka peluang bagi usahawan pemula seiring bidang inovasi yang semakin berkembang.

"Kami sentiasa berusaha ke arah mewujudkan ekosistem yang menyediakan kemudahan pembiayaan, bimbingan, inkubasi dan integrasi pasaran yang membolehkan usahawan pemula kita bersaing pada skala global," kata Adam dalam ucapannya ketika perasmian India-ASEAN Startup Summit 2023, hari ini.

Persidangan inisiatif Malaysia bersama India tersebut dijangka mampu memacu ekosistem usahawan pemula, merentasi dua negara dan seterusnya sebagai batu loncatan untuk berkembang ke rantau Asia Tenggara.

Persidangan dua hari di Sunway Pyramid Convention Centre (SPCC) itu akan menghimpunkan lebih 600 usahawan dalam dan luar negara pada 12 dan 13 Disember ini.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM